Sunday, November 8, 2020

KINDRED


Perlahan kapas gebu langit terapung melewati kampung kecil kita.
Dua sternum tersandar di kaki bukit, lawan tenung sama arak-arakan putih gebu itu.
Ada kesenangan yang kita sisip jauh sejauh kotak hati paling dalam, dan kita semua hanya mencegat
di luar pagar rusuk sesama kita.
Takut lagi menunggu.
Satu hal yang menenggelami kata hanyalah keselesaan, yang mencukupkan dua tiga empat butir kata menjadi seni.

Aku senang mengetahui dunia ini sempit lagi tak berpenghujung; aku senang berkongsi kepingan memori dengan kau orang yang tak pernah berkira masa.
Resah ruang hati aku memikirkan yang aku terlalu selesa sendiri.
Bertumbuh sendiri, berkubur sendiri, sedangkan ada yang mendengar kegusaran aku sedari jarak.

Aku senang mengulang tayang rasa yang telah lama menjauh, tak mungkin kali keduanya sama.
Kita hanya dua anak kecil yang teringin disayangi,
masih berhati kerana sedar ada yang sakit bila tersentuh.
Berbaring menatap langit, dan dua hati yang seberat dunia, kosong, tapi masih mahu memberi.

Awan yang berat turunkan hujan.
Dua anak kecil, berlari dari hujan.