Wednesday, July 15, 2020

SURAT TAK BERSETEM



Tangan aku mahu bercerita buat sekali lagi sebelum waktu panjang tiba semula.
Ada yang tergerak masa dalam sistem aku. Kesannya: bersepai otak aku mengatur ulang
(kali ke-n) diri ini.
Wayar syaraf tangan aku makin liat ditambatkan ke otak, liar yang sangat,
bertingkah tanpa cara jam pagi malam.

Biar surat yang panjang mengisi rumpang, boleh?
Ini ruang aku.
Selamat datang.

Apa bisa aku tanya tentang rasa yang hanya permukaan, wahai hati?
Masa tak mungkin senang kau melawan arus dia.
Penalaan halus hari esok, pastikan orang pertama kau cari saat terjaga empat pagi
bukan orang yang kejauhan.
Dibuai lemah bulan di jari, ya tak ya.
Bulan yang
beritahu air laut bila boleh naik.
Jangan sampai bulan marah.

Antara kita ada yang lupa kita tak betah berenang dan aku sebut namanya
bawah muka air beberapa bulan lepas; bukan nama sebut yang aku dengar gema dari
lantai kolam cuma decit tangga memujuk aku.
Lagu-lagu bawah air.

 Setengah benda berupa orang kita letak dalam bekas kaca dan cintai dari kejauhan.
Dari setengah, setengah lain liar dan kejauhan.
Lagi separuh, disangkar.

Dia yang terindah, itu satu interpretasi.
Permukaan / Matryoshka / Ketidakbolehdapatan.
Seni tercerap 'ain yang melihat. Seni memilih. Seni tak pernah objektif.