Tuesday, March 26, 2019

JANJIAN



Pukul tiga pagi aku berteleku duduk depan televisyen, sampai kering bola mata aku menungkan:

Apa kebenaran sebenar kewujudan manusia?

Satu hari kau bangun dan kau nak ubah dunia. Semua kau nampak dengan kaca kaleidoskop warna warni dan kau rasakan dalam rongga peparu kau tak ada benda mustahil kalau kau kata nak. Kau cuma perlu lafazkan kata keramat nak. Atma kau menjerit mahu hidup selamanya, tamakkan usia yang memang Tuhan kata pendek. Tamak nikmat duniawi.

Esoknya mungkin kau bangun dan rasa bumi menolak fisika kau. Isytihar perang kau lawan seluruh dunia. Dunia hanya lapisan kubur. Beza harini dan esok lusa adalah mana atas mana bawah. Hari macamtu bila kau lewati, nak bernafas pun payah. Mencucuk, kau tahu? Duri kawat macam tertanam darah daging setiap gerak, setiap tu rasa kalau kau mampus, habis derita. Perasaan tu sejelas macam api dalam keluk kaca. Kadang-kadang lagi terang. Simbah minyak tanah kat pelita sikit. 
Kalau, kalau, kalau.
Perlekehkan janjian azab. Ya Rabb, kalau semua berhenti kat sini, aku boleh berehat. Dia janjikan kita rehat abadi kelak. Kau tak pernah sabar. "Jauh sangat." Ambik jalan dekat. Tanya dulu, tak salah kan aku nak cepat sampai? Tamak lebih teruk. Manusia, manusia.

Aku layangkan setiap keping kertas berdakwat, setiap keping ada alamatnya. Hatta tak sampai tinta aku, ini cara aku tau untuk kumpul jawapan. Aku takut aku terlalu obses destinasi kebenaran sampai aku leka dengan beban bekal perjalanan aku. Satu dapat, satu korban. Apa dan mana kebenaran yang aku perlu kejarkan sebenarnya? 

Kalau, kalau, aku terus lawan tenung mata dengan skrin ni, esok pukul 7 bolehkah dia paparkan jawapan soalan mudah aku?